MOF tambah baik sistem SARA supaya lebih lancar, elak gangguan

MOF tambah baik sistem SARA supaya lebih lancar, elak gangguan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Kewangan sudah meningkatkan kapasiti sistem pelayan (server) bagi berdepan peningkatan transaksi pembelian barangan menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata, peningkatan kapasiti itu bagi menguruskan jumlah transaksi terutama menjelang cuti panjang hujung minggu ini serta pada cuti Hari Malaysia.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya turut melakukan troubleshoot untuk memastikan urusan pembelian dan penebusan SARA RM100 itu dapat dilaksanakan tanpa berdepan isu transaksi tidak selesai atau tersekat seperti yang berlaku pada Ahad dan semalam.

“Apabila kita memasang sistem ini, kita memasang kapasiti untuk 5,000 transaksi (data) seminit.

“Kita memasang kapasiti untuk 15,000 transaksi (data). Kita sangat yakin kita boleh menangani 15,000 transaksi (data),” katanya pada sidang media di Kementerian itu, hari ini.

Mengakui terkejut dengan jumlah transaksi yang melonjak pada hari pertama SARA RM100 bermula pada 31 Ogos dan semalam, Johan berkata, kapasiti sistem sudah dilonjakkan untuk membolehkan pemprosesan 20 peratus transaksi berbanding Ahad.

Beliau berkata, ia dapat dilihat apabila nilai yang berjaya diproses semalam adalah sebanyak RM66 juta berbanding RM52.7 juta pada hari pertama pelaksanaannya.

Katanya, setiap hari pihak MyKasih melaksanakan penambahbaikan untuk meningkatkan kapasitinya selain bersedia berdepan peningkatan transaksi menjelang hujung minggu ini.

Johan berkata, hari pertama pelaksanaan SARA RM100 menyaksikan lonjakan transaksi melebihi 5,000 transaksi seminit sedangkan kapasiti pelayan yang sedia ada hanya mampu menampung sekitar 2,200 transaksi.

“Masalah utama bukan pada terminal atau pasar raya, sebaliknya pelayan yang tidak dapat menampung jumlah pengguna serentak.

“Walaupun begitu, sistem masih berfungsi dan berjaya memproses hampir 900,000 transaksi bernilai RM52 juta pada hari pertama,” katanya.

Pada masa sama, Johan berkata, kemasukan kredit bulanan untuk golongan B40 pada 1 September turut menambahkan lagi jumlah penerima yang berbelanja semalam.

“Ini membuktikan walaupun sistem menerima tekanan permintaan yang sangat tinggi, ia tetap berfungsi. Isu yang timbul hanyalah kelembapan ketika puncak penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata, sistem MyKasih juga tidak pernah terhenti sepenuhnya (crash) sebaliknya hanya melambatkan proses ketika transaksi sangat tinggi.

Selain itu, Johan menasihati penerima bahawa kredit berkenaan boleh dibelanjakan sehingga 31 Disember ini.

“Ada banyak lagi masa untuk membelanjakan kredit tersebut. Pihak kami juga berterima kasih kepada semua pasar raya yang terlibat dalam program SARA dan juga mengambil langkah untuk membantu di peringkat kedai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan rangkaian kedai untuk memastikan bahawa program kerajaan itu dapat dimanfaatkan semua rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top