hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: Kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan bekas prospek (banduan) di seluruh negara mencapai 16 peratus secara purata bagi tahun ini, setakat ini.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa berkata, angka itu juga adalah di bawah paras 20 peratus kadar residivis antarabangsa.
“Kalau lihat kadar pengulangan masuk penjara ke atas banduan, ada dua keadaan iaitu keadaan daripada fasiliti tanpa menyediakan peluang kerja dan mereka (banduan) akan kembali semula bawah 20 peratus (dan) sekarang 16 peratus, secara purata.
“(Angka) 16 peratus kembali semula ke penjara (itu) tidak banyak untuk tahun ini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 Peringkat Prospek Penjara Kajang Bersama Persatuan Generasi Teras Madani (PGTM) di Penjara Kajang, di sini, hari ini.
Pada majlis sambutan berkenaan, prospek turut mengadakan persembahan antaranya kawad perbarisan, nyanyian, pantomin Peristiwa Bukit Kepong dan deklamasi sajak berunsurkan patriotik sempena Hari Kemerdekaan ke-68.
Mohamad Rosidek berkata, pihaknya menjalankan pelbagai usaha dalam program pemulihan sedia ada merangkumi terapi muzik, halaqah, pendekatan keagamaan, pendidikan, kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, antara elemen penting diketengahkan dalam pemulihan ialah terapi muzik yang mana ia di dalam Model Biopsikososial Spiritual yang menjadi sandaran kerangka pemulihan jabatan.
“Kaedah ini merangkumi pelbagai bentuk seperti alunan muzik, nyanyian, tarian dan seni lukisan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi terbukti memberi kesan positif daripada psikologi, fizikal, kognitif dan fungsi sosial prospek.
“Selain itu, program pemulihan turut membabitkan pemulihan biologi, pemulihan psikologi perubahan belief dan emosi dan pemulihan sosial spiritual. Semua program ini membuktikan kami komited melahirkan prospek yang berdaya tahan, berdisiplin dan mampu kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mencatatkan hasil jualan membabitkan pelbagai produk prospek sebanyak RM129,000 pada Jualan Rahmah sepanjang empat hari di Kompleks Penjara Kajang sempena Hari Kemerdekaan pada minggu lalu.
Untuk rekod, kadar residivis merujuk kepada jumlah bekas banduan yang melakukan jenayah berulang selepas dibebaskan dari penjara dan paras antarabangsa adalah 20 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




