Malaysia diberi mandat pimpin usaha pemuliharaan alam sekitar ASEAN

Malaysia diberi mandat pimpin usaha pemuliharaan alam sekitar ASEAN

am@hmetro.com.my

Langkawi: Malaysia diberi kepercayaan mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Alam Semula Jadi, Pemuliharaan dan Biodiversiti ASEAN, sekali gus mengukuhkan peranan negara dalam agenda kelestarian serantau.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata negara turut mengetuai Jawatankuasa Kecil Bidang Kimia dan Sisa Buangan.

“Filipina pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Bidang Pesisir Pantai dan Alam Marin.

“Setiap negara anggota ASEAN diberikan peluang untuk mengetuai jawatankuasa kecil tertentu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-20 Persidangan Pihak-Pihak Kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-20) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Johari berkata, jawatankuasa berkaitan sumber air kini diketuai Laos, manakala bandar mampan dan alam sekitar di bawah tanggungjawab Kemboja.

“Isu perubahan iklim pula akan dipengerusikan oleh Singapura dan Thailand, dengan tempoh satu setengah tahun pertama di Singapura dan tempoh berikutnya di Thailand.

“Jawatankuasa Kecil Pendidikan Alam Sekitar pula diberi tanggung jawab kepada Vietnam,” katanya.

Johari menegaskan, mesyuarat bersepakat menyusun semula struktur jawatankuasa kecil supaya pemantauan lebih berkesan dapat dilakukan, selain memastikan laporan perkembangan dibentangkan pada mesyuarat akan datang.

“COP seterusnya berkaitan alam sekitar akan diadakan di Vietnam,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan kedudukan semasa krisis jerebu di rantau ASEAN, Johari berkata, pada keseluruhannya isu itu berada dalam keadaan terkawal.

“ASEAN kini berada dalam keadaan terkawal. Tiada apa yang perlu dibimbangkan (krisis jerebu). Laporan disampaikan dalam keadaan tersusun dan baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top