am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sebuah patung bersaiz manusia mungkin dibawa masuk ke Mahkamah Koroner bagi membantu menjelaskan kecederaan yang dialami Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam prosiding inkues kematiannya yang sedang berlangsung.
Pasukan peguam mewakili salah seorang remaja tertuduh, Datuk Ram Singh berkata, patung itu akan membantu memvisualkan bukti kepada semua pihak yang terbabit dalam inkues.
“Kami mahu menyediakan soalan-soalan mengenai fakta, bukan soalan balas. Itulah sebabnya kami mungkin akan meminta patung itu digunakan untuk menjelaskan kecederaan.
“Kami pernah melakukannya sebelum ini dan ia menjadikan keadaan lebih mudah untuk dilihat,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha dijalankan untuk mendapatkan patung itu sebelum tarikh mahkamah berikutnya, sambil menegaskan ia dibenarkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
“Kami akan membelinya hari ini. Esok, kami jangka akan membawanya masuk.
“Malah untuk peguam kanan seperti kami, ia akan menjadi lebih mudah. Dan untuk anda semua (media), melainkan kita menggunakan AI (kecerdasan buatan). Tetapi saya rasa patung itu akan lebih jelas,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Shahlan Jufri berkata, saksi Dr Jessie Hiu belum selesai memberi keterangan dan akan bersambung esok.
“Jadi apa yang sudah disebut dan dijelaskan oleh Dr Jessie akan bersambung esok pagi, dan buat masa ini kami tidak mahu melangkaui apa yang dibentangkan oleh pakar dan juga Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kita perlu berhati-hati kerana ia mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap AGC dan mahkamah. Prosiding masih berjalan. Ini belum selesai.
“Belum sampai separuh jalan pun. Masih banyak lagi. Ini adalah peringkat awal, sangat awal,” katanya.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan daripada penjelasan Dr Jessie.
“Sebab itu kami tidak mahu memberi kenyataan lanjut. Kami baru berada di permulaan, di garisan permulaan.
“Esok ia akan bersambung. Boleh jadi esok pun Dr Jessie belum selesai (memberi keterangan),” katanya.
Ram hadir bersama Joan Goh dan Elmer Prem Ganasan.
Shahlan pula hadir bersama Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Berita berkaitan
- Tiada penemuan ubat lazim pada tubuh Zara Qairina – Pakar patologi
- Jenazah Zara Qairina alami pereputan, tapi bedah siasat boleh dijalankan – Pakar
- Kematian Zara Qairina tidak mungkin akibat terjatuh secara tidak sengaja, mahupun ditolak – Pakar Patologi
- Inkues kematian Zara Qairina bermula hari ini
- Inkues Zara Qairina: ‘Apabila tiba masanya, kanak-kanak ini mesti dilindungi’
- Inkues Zara Qairina: Koroner dijangka lawat lokasi kejadian 11 September ini
- Inkues Zara Qairina: Peguam hormati keputusan mahkamah
- Bapa Zara Qairina tidak menentu berhak jadi pihak berkepentingan – Peguam
- Mahkamah benarkan peguam remaja dituduh jadi pihak berkepentingan inkues Zara Qairina
- Inkues Zara Qairina: Bapa, ibu dibenar jadi pihak berkepentingan
- Inkues kematian Zara Qairina bermula hari ini
© New Straits Times Press (M) Bhd




