Dua lelaki disyaki curi rim sedang dicari

Dua lelaki disyaki curi rim sedang dicari

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kecurian rim kenderaan di sebuah taman perumahan sekitar Semenyih, di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan dibuat oleh mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun pada 1.30 tengah hari semalam.

“Mangsa seorang pelajar kolej menyatakan dia melihat dan sempat merakam perbuatan dua individu tidak dikenali di hadapan rumahnya dipercayai sedang mencuri tiga rim beserta tayar kereta miliknya.

“Dalam kejadian ini rakaman video yang diambil pengadu menampakkan nombor pendaftaran kedua-dua motosikal suspek namun semakan mendapati ia palsu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, pihak sedang mengesan kesemua suspek terbabit dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Karunagaran di talian 0122449414 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top