Lelaki didenda RM3,500 pukul bekas isteri guna topi keledar

Lelaki didenda RM3,500 pukul bekas isteri guna topi keledar

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan bekas isterinya menggunakan topi keledar, Ahad lalu.

Majistret Atifah Hazimah Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Firdaus Osman, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, duda itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 34 tahun dengan menggunakan alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh mendatangkan kematian iaitu topi keledar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kampung Sentosa, Pasir Gudang di sini, jam 5.30 petang, 31 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Nurul Hidayah Mohammad Asri memaklumkan tertuduh memohon hukuman denda ringan dengan alasan mempunyai tiga anak yang mana dua daripadanya di bawah jagaan tertuduh.

“Tertuduh bekerja memasang khemah kanopi jika ada kenduri kahwin. Tertuduh mengaku bersalah dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh memukul kepala dan tengkuk mangsa menggunakan topi keledar dan akibat perbuatan itu, wanita cedera di dua bahagian anggota badan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top