Kereta terjunam: Niat infak untuk masjid esok, jadi majlis tahlil

Kereta terjunam: Niat infak untuk masjid esok, jadi majlis tahlil

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Sebelum ini mereka berhasrat untuk berkongsi rezeki lebih melalui infak ke masjid namun hasrat itu bertukar menjadi tahlil arwah dua anak mereka yang lemas dalam kejadian kereta menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas, Teluk Kemang hari ini.

Kenalan suami isteri berkenaan, Aahnisah Hamid, 49, berkata, pasangan itu sebelum ini berkongsi niat untuk menyediakan kira-kira 400 bungkus makanan untuk diagihkan di Masjid Tanjung Agas yang dicadangkan pada malam esok.

“Saya dan suami yang ada kedai makan bersetuju untuk tolong mereka memasak. Sepatutnya hari ini suami saya akan berjumpa mereka untuk berbincang soal kos untuk menyediakan makanan itu.

“Tak sangka hari ini anak mereka lemas selepas kenderaan mereka masuk ke dalam sungai ketika sedang diparkir,” katanya ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Port Dickson di sini sebentar tadi.

Aahnisah berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu dan pasangan berkenaan kelihatan sangat teruja mahu berinfak atau bersedekah.

“Malam tadi kami memancing seperti biasa dan suami saya sudah tiga kali berjumpa mereka ketika sedang memancing dan mereka amat ceria terutama kedua anak mereka yang gagal diselamatkan.

“Difahamkan, mereka tinggal di Air Keroh, Melaka dan datang ke sini sejak tiga hari lalu untuk berehat dan memancing bersama keluarga.

“Ibu mangsa menangis beritahu saya, niat infak jadi tahlil anak pula dan dia kelihatan benar-benar trauma,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kenderaan diparkir dalam keadaan enjin yang tidak dihidupkan secara tiba-tiba menggelongsor sendiri ke dalam sungai.

Ketika itu, hanya ibu dan dua anak berada di dalam kereta sementara bapanya berada di luar kereta berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top