am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Seramai 22 individu yang sedang beriadah di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini berdepan detik cemas hari ini apabila terperangkap akibat kepala air.
Difahamkan, daripada jumlah itu 12 mangsa adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala 10 lagi orang awam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.42 petang.
“Sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal, semua mangsa terperangkap di seberang sungai kerana berlaku kepala air akibat hujan,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Mukhlis berkata, ketika ini pasukan bomba sedang menjalankan operasi menyelamat mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




