Jutawan serahkan harta berbilion kepada Neymar

Jutawan serahkan harta berbilion kepada Neymar

Brazil: Bintang Santos, Neymar dikatakan bakal menerima wasiat bernilai 846 juta pound (RM5.5 bilion) daripada seorang jutawan Brazil yang sudah meninggal dunia – meskipun kedua-duanya dilaporkan tidak pernah bertemu.

Menurut laporan media tempatan RIC, wasiat itu difailkan di sebuah pejabat di Porto Alegre dan disahkan pada 12 Jun dengan kehadiran dua saksi.

Bagaimanapun, ia masih perlu mendapat kelulusan mahkamah Brazil sebelum Neymar secara rasmi dinamakan sebagai pewaris tunggal.

Difahamkan, lelaki berkenaan – yang tidak mempunyai anak dan hidup bujang – memilih Neymar kerana merasakan dirinya “mempunyai kaitan peribadi” dengan pemain itu.

Dia dilaporkan mengagumi ikatan kekeluargaan rapat Neymar, khususnya hubungannya dengan ayah, Neymar Sr, yang mengingatkannya kepada mendiang bapanya sendiri.

Sehingga kini, Neymar, 33, masih belum memberi sebarang komen tentang laporan berhubung kekayaan mengejutkan itu.

Namun, pakar undang-undang percaya wasiat berkenaan boleh berdepan pelbagai komplikasi biarpun sudah diluluskan.

Neymar kini kembali bersama kelab lamanya, Santos, selepas pulang daripada pengalaman pahit bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Dalam separuh kedua musim 2024-25, dia meledak tiga gol daripada 14 penampilan, menambah kepada rekod cemerlangnya terdahulu bersama Santos dengan 136 gol dalam 225 perlawanan antara tahun 2009 hingga 2013.

Pada Jun lalu, Neymar menandatangani lanjutan kontrak bersama Santos sekali gus membuka peluang untuk kembali menyarung jersi Brazil di Piala Dunia tahun 2026.

Namun, bintang itu masih bergelut untuk mendapatkan rentak selepas dilanda kecederaan serius anterior cruciate ligament (ACL) pada Oktober 2023.

Dia tidak beraksi untuk Brazil sejak itu tetapi masih kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Selecao dengan 79 gol.

Jika wasiat luar biasa ini benar-benar menjadi miliknya, Neymar bukan sahaja kekal sebagai ikon bola sepak, tetapi juga mungkin bergelar pemain bola sepak terkaya Brazil sepanjang zaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top