
Cklamovski mahu pemain kekal fokus berdepan Palestin. – Foto: FB FAM
SELEPAS meraih kemenangan 2-1 ke atas Singapura pada Khamis lalu, skuad Harimau Malaya kini tekad untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aksi persahabatan Tier 1 menentang Palestin yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, aksi menentang Palestin dijangka lebih mencabar dan semua pemain perlu meningkatkan lagi corak permainan.
“Kami menghormati Palestin sebagai lawan yang sukar, tetapi pada masa yang sama kami mahu mengambil peluang ini untuk terus belajar dan meningkatkan corak permainan.
“Bola sepak bukan sahaja tentang kemenangan, tetapi juga memberi kebanggaan kepada negara,” katanya pada sidang akhbar menjelang aksi persahabatan berkenaan.
Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Australia itu turut menekankan bahawa setiap kemenangan datang melalui proses dan persediaan rapi, termasuk dari aspek taktikal serta pemulihan pemain.
“Kami telah mengkaji maklumat mengenai Palestin dan akan menilainya semula. Harapan kami ialah pasukan tampil lebih baik, kerana kejayaan tidak datang tanpa proses,” jelasnya.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai situasi pemain sayap lincah, Faisal Halim, Cklamovski menegaskan bahawa meskipun melibatkan isu peribadi, pasukan tetap memberikan sokongan penuh kepadanya.
“Bagi saya, ia hanyalah satu isu yang tidak mengganggu tumpuan pasukan dan dia mendapat sokongan 100 peratus daripada semua. Fokus kami sekarang ialah persiapan menghadapi Palestin,” katanya lagi.