Lumba, aksi berbahaya punca maut konvoi bermotosikal

Lumba, aksi berbahaya punca maut konvoi bermotosikal

PETALING JAYA: Sikap segelintir penunggang motosikal yang gemar berlumba dan melakukan aksi berbahaya demi mendapatkan kepuasan diri dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya ketika aktiviti konvoi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, masih terdapat individu yang berani mengambil risiko tinggi dengan menunggang secara melulu, berlumba haram serta melakukan aksi berbahaya di lebuh raya walaupun operasi dijalankan secara konsisten.

Katanya, penunggang yang memecut pada kelajuan tinggi, menukar lorong secara mengejut, menunggang secara berkumpulan tanpa kawalan atau melakukan aksi berbahaya boleh menyebabkan kemalangan serius yang melibatkan banyak kenderaan.

Lumba, aksi berbahaya punca maut konvoi bermotosikal
MUHAMMED HASBULLAH ALI

“Menerusi kejadian yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bukan sahaja nyawa penunggang motosikal terkorban malah pengguna jalan raya lain turut berdepan risiko kecederaan, kerosakan harta benda dan trauma akibat kemalangan tersebut.

“Jalan raya merupakan ruang awam yang perlu dikongsi secara bertanggungjawab oleh semua pengguna. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, empat terbunuh dan beberapa penunggang cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi, ketika sekumpulan penunggang motosikal RXZ berkonvoi ke arah Kemaman.

Menurut Muhammed Hasbullah, penguatkuasaan semata-mata tidak akan memberikan kesan yang optimum sekiranya tidak disokong oleh kesedaran masyarakat serta peranan ibu bapa, institusi keluarga, sekolah dan komuniti dalam membentuk sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya.

Namun begitu katanya, JSPT terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menunggang secara melulu, terlibat dalam perlumbaan haram atau melakukan aksi yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Pada masa sama, usaha pendidikan dan advokasi perlu diperkasakan supaya masyarakat memahami bahawa setiap tindakan tidak bertanggungjawab di jalan raya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” ujarnya.

Mengulas cadangan memperkenalkan dasar baharu melibatkan penunggang motosikal, beliau berkata, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Motosikal merupakan antara mod pengangkutan utama rakyat Malaysia dan digunakan oleh jutaan pengguna setiap hari untuk bekerja serta menjalankan urusan harian.

“Oleh itu, pendekatan yang lebih sesuai ketika ini ialah memastikan tindakan penguatkuasaan disasarkan kepada individu yang melanggar undang-undang, bukannya menghukum keseluruhan komuniti penunggang motosikal yang mematuhi peraturan.

“Sebarang cadangan dasar baharu pada masa hadapan perlu melalui kajian yang komprehensif dengan mengambil kira aspek keselamatan, keperluan pengguna, impak ekonomi serta pandangan semua pihak berkepentingan sebelum diputuskan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top