'Hentikan adu domba, elak sengketa, buang sifat buruk lemahkan kita' – Muhyiddin

'Hentikan adu domba, elak sengketa, buang sifat buruk lemahkan kita' – Muhyiddin

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Shah Alam: Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan pihak yang mengutip tandatangan untuk menjatuhkannya adalah bercanggah dengan perlembagaan parti itu.

Beliau berkata, sekiranya Presiden dijatuhkan melalui kutipan tandatangan, kesemua Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU boleh dijatuhkan melalui cara yang sama.

“Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian pun boleh ditimpa nasib yang sama.

“Ingat, parti kita ini ada perlembagaannya. Ada peraturannya.

Patuhilah perlembagaan parti kalau kita mahu parti kita ini tertib, elok, rukun dan damai,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU Kali Ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar surat layang yang berlegar di media sosial mendakwa Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin bertindak sebagai ‘broker’ menggerakkan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN) sebagai usaha menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan Presiden BERSATU.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh mendakwa, BERSATU dan PN juga sedang berada di kedudukan yang terbaik untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan membentuk kerajaan berdasarkan sentimen rakyat.

Pengerusi PN itu turut mengingatkan semua pihak dalam parti itu untuk menghentikan adu domba dan mengelakkan sengketa.

“Buang segala sikap buruk yang melemahkan kita. Jangan jadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Jangan jadi seperti Lebai Malang, di sini terlepas di sana pun melepas.

“Ingatlah, parti kita tidak bermula dengan timbunan harta dan wang ringgit. Tidak juga dengan janji jawatan dan kedudukan. Kita bermula tanpa apa-apa. Yang ada hanyalah semangat yang ikhlas dan daya juang yang membara untuk menyelamatkan negara.

“Sehinggalah kita berada di sini pada hari ini. Percayalah kelangsungan perjuangan parti ini bergantung kepada keikhlasan hati-hati kita serta pengorbanan jiwa dan raga kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sehingga kini, sebanyak 12 parti politik yang mewakili rakyat berbilang kaum dan kelompok masyarakat telah menyertai PN.

“Kita telah bersetuju bahawa gabungan ini akan mengambil pendirian bersama dalam isu-isu yang menyentuh kebajikan rakyat. Ini secara tidak langsung akan memperkukuhkan peranan semak dan imbang PN sebagai parti pembangkang.

“Insya-Allah, gabungan bersifat inklusif ini, yang mana PN memainkan peranan utama, akan muncul sebagai payung besar bagi seluruh rakyat Malaysia yang mahukan perubahan politik dalam negara. Saya yakin, inilah model politik baharu yang lebih inklusif, lebih stabil dan lebih diterima rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top