Pelakon Ardell Aryana yang sedang mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berkongsikan keadaan dilalui oleh semua sukarelawan.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok, Ardell berkata dia satu-satunya rakyat Malaysia dan Muslim berada dalam kapal kecil dinaiki sembilan sukarelawan dan bekalan makanan yang dibawa makin berkurangan.
BACA: Nadzmi Adhwa Kongsi Momen Hantar Ardell Aryana Ke Gaza Undang Sebak
“Ambil wuduk, gosok gigi dan nak bersihkan diri atas kapal layar ini, semuanya pakai air laut. Air bersih yang tinggal untuk makan minum kami hanya empat liter. Saya menjangkakan perjalanan (ke Gaza) ambil masa berminggu-minggu lagi,” katanya.
Sementara itu, Ardell berkata sukarelawan turut diuji dengan keadaan kapal kecil dan kerap dihentam ribut, malah sukarelawan Muslim diasingkan.
“Kami (sukarelawan dari Malaysia) sebenarnya diasingkan, tak boleh sekali dalam satu kapal sama sebab bahaya, jika semua Muslim. Misalnya, Zizi Kirana ada di kapal lain begitu juga sukarelawan lain.
“Jadi saya ditempatkan dalam kapal kecil, nak mandi pun tak boleh. Hanya lap badan, tidur pun perlu bergilir-gilir (dengan sukarelawan lain) dalam satu bilik kecil yang sangat sempit. Tandas yang kami gunakan pun hampir rosak sebab ribut. Solat juga berdiri sebab kapal sangat kecil,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ardell berkata fokusnya adalah pada misi membuka kepungan disana kerana rakyat G4z4 kini lebih memerlukan berbanding mereka biarpun banyak ujian dilalui serta meminta orang ramai mendoakan buat mereka.
“Memang banyak ujian atas kapal ni, tapi saya hanya fokus untuk pastikan dapat buka kepungan di sana. Mereka di sana lebih memerlukan, bayi hadapi kehausan melampau, tak ada air nak minum. Fokus kami memang pada Gaza cuma doakan iman kami tak berbalik,” katanya.
Sumber: BH Online




