Kanak-kanak diserang anjing stabil, akan jalani pembedahan

Kanak-kanak diserang anjing stabil, akan jalani pembedahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kajang: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera selepas diserang seekor anjing di taman perumahan di Batu 9, Cheras Rabu lalu, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak itu akan menjalani pembedahan lagi untuk jahitan di kulit luar kepala.

“Doktor turut memberikan ubat nyah rabies kepada mangsa. Berhubung kemungkinan jangkitan rabies, keputusan hanya dapat dipastikan selepas analisa diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan anjing yang menyerang dan menggigit kanak-kanak lelaki itu disahkan anjing liar.

Naazron dilaporkan berkata, semakan itu dilakukan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

MPKj sudah mengeluarkan surat pemakluman berkaitan anjing berkenaan untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Verterinar bagi tindakan lanjut.

Katanya, mangsa yang sebelum ini dibawa ke Hospital Kajang dan dipindahkan ke Hospital Putrajaya untuk dirawat di wad kanak-kanak hospital berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas diserang dan digigit seekor anjing ketika bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya.

Kejadian terbabit sebelum itu tular di media sosial memaparkan kanak-kanak terbabit bergelut dengan anjing itu beberapa ketika sebelum berjaya melarikan diri.

Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.

Berita berkaitan:

Anjing serang budak lelaki disahkan tidak bertuan

Mangsa serangan anjing perlu pembedahan tampal kulit kepala

MPKj tangkap anjing cederakan kanak-kanak

Budak lelaki digigit anjing kini dalam keadaan stabil

Budak lelaki parah diserang anjing

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top