57 maut, 50,000 pendatang ceroboh Ceuta dalam 24 jam

57 maut, 50,000 pendatang ceroboh Ceuta dalam 24 jam

MADRID: Sekurang-kurangnya 57 orang maut ketika cuba memasuki wilayah Ceuta milik Sepanyol selepas kira-kira 50,000 pendatang menyeberang dari Maghribi ke wilayah itu dalam tempoh 24 jam, sekali gus mencetuskan krisis politik di negara berkenaan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, menyifatkan kemasukan besar-besaran itu sebagai ‘pelanggaran terhadap kedaulatan wilayahnya’.

Gelombang pendatang itu mengatasi keupayaan Ceuta yang mempunyai kira-kira 85,000 penduduk, selain mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU), termasuk gesaan supaya Sepanyol digantung daripada Zon Schengen.

Sánchez, yang mengadakan lawatan ke Ceuta pada Jumaat, berkata kerajaan akan menggerakkan semua sumber yang ada bagi memastikan keselamatan penduduk wilayah berkenaan terus terjamin.

Beliau mendakwa kemasukan besar-besaran itu didalangi sindiket penyeludupan manusia yang mengambil kesempatan terhadap keputusan Mahkamah Agung Sepanyol baru-baru ini.

Mahkamah memutuskan individu yang dipintas di laut ketika cuba memasuki Ceuta atau Melilla, satu lagi wilayah Sepanyol di Afrika Utara, tidak boleh dihantar pulang serta-merta di bawah peraturan khas yang diguna pakai sebelum ini.

“Maklumat mengenai keputusan itu tersebar dengan pantas melalui rangkaian sindiket pemerdagangan manusia, sekali gus mencetuskan gelombang kemasukan berskala besar seperti yang berlaku semalam,” katanya.

Bagi menangani situasi itu, Sánchez berkata sebuah pusat penerimaan sementara akan diwujudkan untuk mengurus proses dokumentasi, pendaftaran, saringan dan mempercepatkan pengusiran individu yang tidak mempunyai hak sah untuk berada di Sepanyol.

Sánchez turut mengumumkan kerajaan akan memasang penghadang berupa barisan boya berhampiran benteng ombak di Pantai Tarajal, Ceuta, bagi menandakan sempadan secara fizikal serta mematuhi keputusan Mahkamah Agung.

Walaupun kerajaan Sepanyol menganggarkan kira-kira 50,000 pendatang memasuki Ceuta pada Khamis hingga awal pagi Jumaat, Presiden Ceuta memaklumkan jumlah sebenar mungkin mencecah 60,000 orang.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol berkata pihaknya mengerahkan anggota polis dan tentera tambahan ke wilayah itu, selain memaklumkan lebih 48,300 migran pulang semula ke Maghribi secara sukarela setakat jam 6 petang semalam.

Sementara itu, Presidensi Ireland bagi Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar negara anggota pada Sabtu menerusi mekanisme Tindak Balas Krisis Politik Bersepadu (IPCR) bagi membincangkan krisis migrasi yang melanda Sepanyol.- AGENSI

Scroll to Top