Deretan strudel sepanjang 3 kilometer pecah rekod dunia

Deretan strudel sepanjang 3 kilometer pecah rekod dunia

Jaskovo, Croatia: Sebuah perkampungan di Croatia berjaya mencipta rekod dunia Guinness selepas menghasilkan strudel sepanjang lebih 3 kilometer.

Penganjur berkata, dua tan tepung dan tiga tan epal digunakan untuk membuat strudel paling panjang di kampung kecil Jaskovo.

Seorang penilai dari Guinness World Records, Paulina Sapinska mengesahkan perkara ini. “Verifikasi dan pengiraan sangat teliti. Saya boleh mengumumkan sejumlah 8,940 strudel dibuat. Ini bermakna rekod dunia Guinness baharu tercipta,” katanya.

Panjang strudel itu 3,136 meter. Pada Festival Strudel tahunan di perkampungan ini, strudel yang dihasilkan menggunakan resepi tradisional kawasan itu diletakkan dalam barisan oleh penduduk tempatan dan sukarelawan.

Datuk Bandar wilayah, Martina Furdek Hajdin berkata, strudel merupakan lambang tradisi tempatan.

“Acara begini dapat meningkatkan pembangunan kawasan luar bandar,” katanya.

Strudel yang digunakan untuk memecahkan rekod ini akan disumbangkan ke pelbagai institusi, organisasi, dan mereka yang memerlukan.

Jaskovo terletak 66 kilometer di barat daya Zagreb. Kampung ini pernah menuntut rekod dunia ini sedekad lalu. Ketika itu, rekod strudel sepanjang 1,479 meter dihasilkan. Rekod dunia sebelumnya dari 2019 dipegang oleh bandar Sisak, Croatia. Mereka menghasilkan barisan hampir 6,000 strudel sepanjang lebih 1,762 meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top