Penyampai radio, Kai Hassan mendedahkan dirinya terpaksa menanggung derita hampir tiga minggu akibat dipercayai terkena gangguan mistik.
Menurut Kai atau nama sebenarnya Abdul Karim Hassan, 30, kesan gangguan itu membuatkan dirinya mudah marah, sukar tidur dan mengalami perubahan pada tubuh badan.
Katanya, perkara itu disedarinya sejak pulang daripada aktiviti perkhemahan di Janda Baik, Pahang, pada Ogos lalu.
“Bulan lepas, selepas balik camping di Janda Baik, minggu pertama okay saja. Masuk minggu kedua, saya mula susah tidur.
“Badan rasa panas, terutama di leher, kulit pula timbul merah-merah. Emosi jadi cepat naik angin.
“Saya juga tak tenang… sampai ada ternampak kelibat dalam rumah. Dalam tiga bilik, ada satu yang kosong,” katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Kai menjelaskan selepas tiga minggu menahan sakit, dia akhirnya mendapatkan rawatan alternatif di Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin, Melaka.
Tambahnya, ketika menjalani rawatan berkenaan, dia berada dalam keadaan separa sedar seperti khayal malah, terkejut apabila suaranya bertukar menjadi suara wanita ketika rawatan dijalankan.
“Saya tak mabuk, tapi rasa khayal dan separa sedar. Menjerit pun saya tak sedar langsung.
“Bila kembali sedar, saya sendiri terkejut sebab suara saya jadi suara perempuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kai berkongsi ustaz yang merawatnya memberitahu gangguan tersebut bukan berpunca daripada sihir atau khianat, sebaliknya disebabkan jin yang menyinggah selepas pulang dari Janda Baik.
“Alhamdulillah, bukan sihir atau perbuatan orang. Cuma ketika itu keadaan diri saya lemah semangat, jadi mudah ‘disinggah’.
“Mula-mula memang bimbang juga kalau ada musuh, tapi syukur tiada. Saya berdoa agar tidak ada orang yang berniat jahat,” ujarnya.
Tidak habis disitu, Kai turut mendedahkan bahawa isterinya, Azna Anowar turut terkena tempias sehingga hubungan rumah tangga mereka terganggu.
“Isteri saya pelik dengan perubahan sikap saya. Hal kecil pun saya cepat marah, sampai tahap maki hamun.
“Dia pernah persoalkan perubahan saya dan sangka saya ada orang lain,” tambahnya.
Untuk rekod, pada Ahad, Kai ada memuat naik video di media sosial yang memaparkan dirinya ketika menjalani rawatan perubatan Islam di Melaka.




