am@hmetro.com.my
Nabawan: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sepulut – Kalabakan, berhampiran Kantin Pertama, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 33 tahun dilaporkan memandu Toyota Hilux Vigo sebelum kenderaannya dihempap pokok yang tumbang secara tiba-tiba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Mohd Kadzri Raus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) ke lokasi.
Katanya, ketika dalam perjalanan, pasukan bomba dimaklumkan mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan bomba kemudian bergerak ke klinik berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba seterusnya memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




