am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Sireh di sini, Sabtu lalu.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 5 pagi oleh sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Cawangan D4 JSJ IPK.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihak polis berjaya merampas sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup.
Katanya, lelaki yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah dan sembilan rekod narkotik.
“Ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
“Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula 7 September sehingga esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




