Pelakon popular Sharnaaz Ahmad masih belum terbuka untuk mencari pasangan hidup yang baharu walaupun sudah lima tahun memegang gelaran duda.
Sebaliknya, aktor berusia 40 tahun ini lebih selesa menyerahkan urusan jodoh kepada ketentuan Allah dan bersyukur dengan kehidupannya sekarang kerana masih dikurniakan rezeki dalam pelbagai bentuk, termasuk kesihatan yang baik.
“Saya tak tahu, itu semua perancangan Allah. Kalau ada jodoh, saya tiada masalah untuk bernikah. Tapi buat masa ini, Tuhan berikan macam-macam nikmat lain.
“Jadi, kalau Dia mahu beri saya jodoh, pasti Dia akan temukan, cuma sekarang belum masanya,” katanya kepada XTRA.

Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad menjelaskan soal jodoh bukanlah keutamaan dalam hidupnya ketika ini.
“Saya tak cari pasangan yang sempurna. Biarlah jodoh itu yang datang sendiri kepada saya. Kalau kita yang mencari, belum tentu kasih sayangnya sama seperti kita menyayangi dia. Tetapi kalau dia yang datang, itu ikhlas 100 peratus, jadi jagalah baik-baik,” katanya.
Tambah pelakon drama bersiri Juvana ini, dia tidak menolak ada wanita cuba mendekatinya, malah ada juga yang dia sendiri cuba kenali.
Namun, dia lebih selesa berkawan berbanding membawa hubungan ke tahap lebih serius.
“Memang ada yang mendekati, ada juga yang saya cuba dekati. Tapi saya lebih selesa berkawan. Kalau bercakap soal hubungan serius, setakat ini memang tiada. Kalau ada, saya akan beritahu,” jelasnya.
Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila, kakak kepada selebriti terkenal Neelofa pada 31 Mac 2017, namun mereka berpisah pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, kini berusia lapan tahun.
Dalam nada berseloroh, Sharnaaz berkata dia masih mahu mengekalkan gelarannya sebagai Presiden Duda Malaya.
“Saya masih tamak dengan jawatan saya sebagai Presiden Duda (ketawa). Mungkin saya hendak memegang jawatan itu sepenggal atau 10 penggal lagi. Saya tidak tahu soal jodoh kerana itu semua rahsia Allah. Kalau dipertemukan jodoh, boleh saja terus hendak menikah,” katanya.
Biarpun selesa hidup solo, Sharnaaz mengakui ada ketika dia merasa kesepian.
“Saya gembira, tapi kadang-kadang rasa kosong ketika sakit, Hari Raya atau berbuka puasa. Waktu itu kita perlukan teman, tapi saya tiada. Walaupun begitu, saya tetap bersyukur.
“Tuhan beri saya rezeki lain, cuma bahagian jodoh belum hadir. Kalau tidak datang pun, saya tidak kisah, saya tak tergesa-gesa,” tambahnya ketika ditemui pada malam gala dan sidang media filem terbaharunya Magik Rompak di GSC IOI City Mall, semalam.

Dalam perkembangan seni, Sharnaaz kembali ke layar perak menerusi filem Magik Rompak yang mula ditayangkan di pawagam esok. Dia membawakan watak Hadi, seorang ahli silap mata yang terjebak dalam misi mencuri rantai permata legenda bernilai jutaan ringgit daripada seorang ahli perniagaan korup.
Filem aksi arahan Adrian Teh itu turut menampilkan barisan pelakon ternama antaranya Zul Ariffin, Amelia Henderson, Nadhir Nasar dan Miller Khan.




