Edrie Hashim tak galakkan 'show free'

Edrie Hashim tak galakkan 'show free'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya memang tak nak galakkan ‘show free’ (persembahan secara percuma) ini,” kata pemuzik dan pemain gitar kumpulan rock Wings, Edrie Hashim, 52.

Edrie berkata demikian ketika diminta mengulas jualan tiket yang dikenakan kepada pelajar meskipun program siri jelajah universiti – Pistol & Bunga membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Edrie berkata, pihaknya tetap mengenakan bayaran tiket untuk menyaksikan showcase Pistol & Bunga kerana mahu mendidik orang ramai menonton persembahan berbayar.

“Memang kita kolaborasi dengan pihak universiti untuk program jelajah Pistol & Bunga tapi tujuan kita jual tiket kerana tak nak galakkan ‘show free’ ini.

“Kita juga mahu mendidik orang ramai untuk beli tiket ‘show’ kerana kita juga ada kos produksi yang nak pasang lampu dan sebagainya.

“Kos yang dikeluarkan itu untuk hasilkan showcase yang bagus tapi tak sebanyak kos di lokasi seperti Axiata Arena,” katanya ketika ditemui pada sidang media kerjasama Neo Gendang Records miliknya dan Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini, kelmarin.

Hadir sama, kumpulan Candy dan pensyarah pengurusan produksi muzik, ASWARA, Wan Mohamed Syamil Wan Shamsul Anuar.

Mengenai pemilihan kumpulan Candy yang diterajui isterinya Patricia Robert (Pat) untuk showcase Pistol & Bunga pula, kata Edrie, Candy adalah di bawah naungan Gendang Records.

“Mungkin orang anggap ini bisnes keluarga tapi sebenarnya, kumpulan Candy di bawah naungan produksi dan kita pilih kumpulan itu kerana senang tak terikat dengan kontrak dengan pihak lain.

“Saya juga sudah rancang lepas single baru Setia2u, kita memang nak kena plan sesuatu untuk Candy.

“Pada masa sama, kita juga rancang untuk jadikan showcase Pistol & Bunga satu jenama. Tahun ni, kumpulan Candy, mungkin tahun depan artis lain pula,” katanya.

Sementara itu, Edrie berkata, program siri jelajah universiti itu juga tidak menjejaskan tumpuannya pada persiapan sempena Konsert Wings 40 tahun pada 28 November nanti.

“Insya-Allah, walaupun saya ada terbabit dalam dua show besar, ia tidak akan jejaskan

tumpuan.

“Saya dan kumpulan Candy sudah biasa buat persembahan bersama dan tiada masalah. Showcase Pistol & Bunga adalah untuk menghiburkan dan tidak perlu ‘stress’ sampai tak tidur malam.

“Saya mahu orang ramai datang tengok showcase Pistol & Bunga kerana ia sumbangan saya pada industri muzik. Kita juga terima kritikan dengan hati terbuka untuk tingkatkan lagi industri muzik,” katanya.

Showcase Pistol & Bunga bakal berlangsung jam 8.30 malam di Orchestra Hall, Aswara pada 20 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top