surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Wanita tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek selepas mengaitkan beliau sebagai sepupu kepada Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah.
Dalam kenyataannya di media sosial, wanita itu menggunakan akaun dengan nama Noor Ramzila mengakui tersilap menyebarkan komen fitnah yang mendakwa Fadhlina mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengetua sekolah Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya, dakwaan itu diperoleh daripada kandungan siaran langsung seorang individu di media sosial, selain daripada rakaman video yang dikongsi pengguna lain.
“Dengan rendah diri, saya ingin membuat permohonan maaf kepada Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek atas komen saya yang memfitnah beliau sepupu dengan pengetua sekolah Zara.
“Tanpa selidik saya terus komen macam ni di FB (Facebook), apa yang saya komen itu semua dapat dari live seorang individu dan ‘screen record’ (rakaman video) orang share (kongsi) dekat TikTok,” katanya di Facebook rasminya hari ini.
Menurut wanita itu, dia mengaku salah atas komen ditinggalkan.
“Saya betul-betul minta maaf atas apa yang berlaku, saya mengaku saya salah.
“Apa yang saya komen ini, saya juga tidak tahu jika komen begini (dapat maklumat dari live) bukan dari saya boleh dikenakan undang-undang.
“Sekali lagi saya betul-betul minta maaf atas perbuatan saya ini dan saya janji tidak akan ulangi lagi perbuatan ini,” tulisnya.
Dalam masa sama, wanita itu turut berkongsi satu laporan polis dibuatnya pagi hari ini di Penampang, Sabah.
“Laporan polis dibuat untuk orang yang viralkan (tularkan) gambar kami sekeluarga untuk keselamatan kami.
“Diminta untuk berhenti sebar gambar anak-anak dan suami saya yang tidak terbabit,” katanya.
Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung fitnah yang mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berkata, beberapa individu cuba mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah terbabit.
“Akhir-akhir ini, banyak sekali fitnah direkayasa secara liar dan jahat serta menyebarkan kebencian. Setakat menepis dan menafikan, ternyata tidak menjadi pengajaran.
“Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya. Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya.
Tegasnya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan berharap perkara itu menjadi pengajaran supaya orang ramai tidak membuat spekulasi.
“Hormati keluarga Allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

