10 tahun selepas juara EPL, Leicester kini mahu dijual

London: Bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City dilaporkan sedia untuk dijual oleh pemiliknya dari Thailand, King Power selepas kelab itu melalui tempoh paling getir dalam sejarah moden mereka.

Hanya 10 tahun selepas mencipta kisah dongeng dengan menjuarai EPL, Leicester kini bakal beraksi di divisyen ketiga bola sepak England, Liga Satu buat kali kedua dalam sejarah kelab.

The Foxes mengharungi dua musim penuh gelora apabila tersingkir dari EPL pada 2025 sebelum mengalami nasib sama di Kejuaraan pada 2026.

Musim lalu, Leicester turut dikenakan potongan enam mata selepas didapati melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian kewangan EPL, sekali gus menyumbang kepada kejatuhan mereka ke Liga Satu.

Menurut laporan BBC, King Power yang dikendalikan keluarga Srivaddhanaprabha sudah melantik sebuah bank pelaburan terkemuka dari Amerika Syarikat untuk membantu mencari pembeli baharu.

Aset kelab itu dilaporkan bernilai lebih 200 juta pound (RM1.10 bilion).

King Power mengambil alih Leicester pada 2010 menerusi urus niaga bernilai 35 juta pound (RM192.90 juta).

Aiyawatt Srivaddhanaprabha kemudian mengambil alih jawatan pengerusi selepas bapanya, Vichai maut dalam nahas helikopter di luar Stadium King Power pada 2019.

Susulan penyingkiran Leicester musim lalu, Aiyawatt mengakui beliau perlu memikul ‘kesalahan’ atas kedudukan kelab ketika ini, selain memberi bayangan bahawa struktur kelab akan mengalami perubahan.

Kini, skuad kendalian Russell Martin perlu mengetepikan segala kemelut di luar padang apabila memulakan kempen memburu tiket kembali ke Kejuaraan dengan berdepan Notts County, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top