SPRM kongsi kejayaan pulih aset kes 1MDB

SPRM kongsi kejayaan pulih aset kes 1MDB

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongsi kejayaan pemulihan aset melalui kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi pemangkin kepada pembaharuan strategi membanteras rasuah rentas sempadan.

Perkongsian itu dilakukan di Persidangan Antarabangsa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) menerusi penyertaannya dalam Second Resumed Sixteenth Session of the Implementation Review Group (IRG), Fourteenth Open-Ended Intergovernmental Expert Meeting to Enhance International Cooperation under the UNCAC, serta Nineteenth Session of the Open-Ended Intergovernmental Working Group on Asset Recovery di Vienna, Austria pada 1 hingga 5 September lalu.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Datuk Norhaizam Muhammad berkata, sehingga Mei lalu, SPRM berjaya memulangkan sejumlah aset bernilai RM29.79 bilion, iaitu 70 peratus daripada jumlah dana yang diselewengkan dalam kes 1MDB kepada kerajaan.

Beliau yang menjadi panelis dalam sesi perbincangan mengenai Bantuan Teknikal dalam Kerjasama Antarabangsa dan Pemulihan Aset berkata, Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh bantuan teknikal, mempercepatkan saluran komunikasi, berkongsi amalan baik serta memastikan aset yang dipulihkan dapat digunakan untuk manfaat bersama, sejajar dengan prinsip UNCAC.

Menurutnya, sidang kali ini menumpukan kepada fasa seterusnya iaitu Mekanisme Ulasan Pelaksanaan (Implementation Review Mechanism) UNCAC, khususnya Bab IV mengenai Kerjasama Antarabangsa dan Bab V mengenai Pemulihan Aset.

“Pelbagai topik turut diketengahkan termasuk amalan baik dan cabaran dalam maklumat pemilikan benefisial, alternatif kepada penguatkuasaan tradisional melalui pendekatan inovatif seperti ‘illicit enrichment’ (peningkatan kekayaan secara tidak sah), bantuan kehakiman bukan jenayah dan litigasi sivil, isu rasuah membabitkan kumpulan jenayah terancang, penafian perlindungan kepada pelaku rasuah serta pencegahan rasuah dalam dasar imigresen, pelaburan dan perlindungan pelarian.

“SPRM turut berkongsi pengalaman Malaysia melalui kes 1MDB yang menjadi pemangkin kepada pembaharuan strategi membanteras rasuah rentas sempadan, apabila pasukan petugas khas melibatkan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MoF) digerakkan untuk menyelaras siasatan, tindakan undang-undang serta kerjasama dengan pelbagai negara,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan dua peringkat iaitu secara tidak formal dan formal melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA), penggunaan risikan kewangan, analisis pemilikan benefisial serta sokongan rangkaian antarabangsa seperti Polis Antarabangsa (INTERPOL), Egmont Group, International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), GlobE Network dan StAR Initiative mempercepatkan proses siasatan dan pemulihan aset.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top