Acara RXZ Members akan diteruskan sehingga sambutan ulang tahun ke-10 susulan sesi libat urus antara penganjur dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.
Menerusi video pendek yang dimuat naik di Facebook RXZ Members, pertemuan itu turut membincangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan penganjuran acara pada masa akan datang berjalan lebih lancar dan teratur.
Sesi libat urus antara kedua-dua pihak juga akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan serta kelancaran perjalanan peserta diberi perhatian.

Antara cadangan yang diusulkan adalah penyediaan Time Travel Advisory, iaitu jadual waktu perjalanan bagi membantu mengurus pergerakan peserta ke lokasi acara.
“Kita akan ada sediakan satu jadual perjalanan untuk para peserta,” kata penganjur.
Dalam pertemuan sama, penganjur turut mencadangkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penunggang motosikal.
“Tadi kita ada minta LLM, mungkin ada cadangan nak tutup LPT untuk laluan rider sekejap. Tapi itu antara penambahbaikan akan datang, kita akan cuba,” katanya lagi.

Terdahulu, JPJ mengarahkan penganjur RXZ Members mewujudkan platform pendaftaran dalam talian bersyarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.
Artikel lain: 46 kemalangan dalam empat hari? JPJ temui penganjur RXZ Members
Antara syarat ditetapkan ialah peserta perlu mendaftarkan pengesahan lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta insurans yang masih berkuat kuasa.

Peserta turut diwajibkan memuat naik empat keping gambar motosikal masing-masing membabitkan pandangan depan, belakang, sisi kiri dan kanan.
Sumber: FB RXZ Members – Officia
