farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kapal Fair Lady yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali, dijangka akan berlepas ke Gaza, esok.
Peserta yang juga Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, bot itu dijadualkan belayar meninggalkan pelabuhan di Catania ini, esok, selepas tiga kali tertangguh.
Katanya, ketika ini kebanyakan mereka sedang menunggu mesej daripada penganjur yang memaklumkan nama bot beserta senarai penumpangnya.
“Sehingga, hari ini, setakat jam 8 pagi (waktu tempatan), masih ada dalam kalangan kami yang belum mendapat mesej mengenai bot mereka.
“Antaranya, rakan sebilik saya Ahmad Safuan Ujar yang juga Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM). Jika tidak menerima mesej itu bermakna anda tidak terpilih menjadi peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk belayar ke Gaza,” katanya menerusi satu hantaran.
Tuan Asri berkata, sesi pengesahan penyertaan kebiasaannya dilakukan dengan menghantar mesej secara peribadi dengan mengumumkan nama penumpang bot sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada peserta.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penganjur memerlukan masa lebih lama untuk mengeluarkan satu senarai yang muktamad.
“Walaupun nama saya sudah tersenarai sebagai penumpang Fair Lady, debaran masih belum hilang kerana proses kemas kini masih berlaku.
“Ini bermakna, ada kemungkinan juga saya akan ditukarkan ke bot lain atau terkeluar terus daripada senarai,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini kira-kira 14 rakan dari Malaysia dan lebih 100 peserta lain menunggu untuk memulakan pelayaran ke Gaza.
“Mudah-mudahan kami semua akan mula belayar untuk bergabung dengan flotila dari Barcelona dan Tunisia,” katanya.
Sementara itu, pempengaruh media sosial, ZRA Strim atau nama penuhnya Zainal Rashid Ahmad pula bakal berdepan cabaran baharu apabila dia dan anak perempuannya yang berperanan sebagai jurukamera, disenaraikan di dalam bot berasingan.
“Jika situasi itu kekal, agak sukar untuk dia menyempurnakan peranannya, namun pada masa sama menganggap cabaran baru itu tetap perlu dihadapinya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




