am@hmetro.com.my
Shah Alam: Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih satu jam yang melanda daerah ini sekitar jam 5 petang tadi.
Antara kawasan terjejas ialah Seksyen 13, Seksyen 7 berhampiran i-City, kawasan berhampiran pintu belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kawasan Bukit Raja.
Air dilaporkan naik secara mendadak dalam tempoh singkat selepas hujan berterusan dianggarkan lebih sejam.
Berdasarkan rakaman video dan gambar di aplikasi Threads, ada kawasan dinaiki air sehingga hampir menenggelamkan tayar kenderaan di kawasan komersil, Seksyen 13.
Terdapat juga kenderaan yang bergerak perlahan di jalan raya yang dinaiki air malah ada juga yang tersadai di tepi jalan.
Berdasarkan rakaman video, siren amaran banjir juga dibunyikan di Seksyen 13 dipercayai akibat paras air Sungai Damansara yang meningkat dengan mendadak.
Ketika ini, media sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berhubung jumlah sebenar lokasi terjejas banjir di sekitar Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




