Lebih 18,000 permohonan tambahan kuota diesel diterima

Lebih 18,000 permohonan tambahan kuota diesel diterima

Petaling Jaya: Portal rasmi BUDI MADANI menerima lebih 18,000 permohonan bagi tambahan kuota diesel bersubsidi sebanyak 100 liter sebulan daripada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak setakat 10 malam ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang memasuki hari kedua berjalan lancar tanpa sebarang masalah teknikal.

Beliau berkata setakat ini lebih 40,000 transaksi direkodkan melibatkan pengguna yang memanfaatkan inisiatif berkenaan sejak ia dilaksanakan semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan awal BUDI Diesel di Stesen Minyak Petronas NKVE arah Damansara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Amir Hamzah berkata permohonan tambahan kuota boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi BUDI MADANI, manakala individu yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan khidmat pegawai di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta kaunter yang disediakan beberapa syarikat minyak.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan kemudahan pemindahan kuota subsidi kepada pengguna sebenar sekiranya pemilik berdaftar kenderaan berbeza dengan individu yang menggunakan kenderaan berkenaan.

“Bagi pemindahan kuota, ia boleh dipohon melalui portal yang sama. Kita akan memastikan kuota itu dipindahkan kepada pengguna sebenar,” katanya.

Menurut beliau, selepas pemindahan dibuat, pengesahan di stesen minyak akan dilaksanakan melalui nombor kad pengenalan pengguna yang dipautkan dengan kuota berkenaan.

“Kuota akan ditetapkan kepada nombor kad pengenalan pengguna baharu. Jadi apabila digunakan di stesen minyak, sistem akan mengenal pasti bahawa kuota itu telah dipindahkan.

“Namun, jumlah kuota kekal berdasarkan kenderaan dan ia hanya boleh digunakan oleh individu yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang isu teknikal dilaporkan melibatkan sistem atau pengusaha stesen minyak, manakala kerajaan akan terus memberi tumpuan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar menjelang 1 Julai ini.

Pelaksanaan awal BUDI Diesel bermula semalam di Semenanjung dengan pengguna menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota anjal sehingga 200 liter, sebelum kadar itu diselaraskan kepada RM2.10 seliter mulai Rabu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top