suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggagalkan cubaan dua lelaki yang mencuri kabel di laluan Kedah Line dekat Kampung Lubuk Batu, Kedah dan Tasik Subang Jaya di sini, pada Ahad.
Pelbagai barangan termasuk kabel milik KTMB yang telah dipotong turut ditemui bersama kenderaan yang digunakan.
Semua barang rampasan itu dan kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian di KM10.3 Laluan Tasek Gelugor-Sungai Petani dekat Kampung Lubuk Batu, pasukan polis bantuannya mengesan dua lelaki mencurigakan berada di kawasan landasan.
“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri semasa pemeriksaan, namun seorang berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa barangan kes termasuk gunting pemotong, lampu suluh serta kabel elektrik milik KTMB jenis CABLF 600/1000 VMS 274-1995 2C × 6SQ milimeter (mm) sepanjang kira-kira 150 meter,” menurut kenyataan.
Bagi kes di landasan Tasik Subang Jaya, pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima laporan kecurian kabel dan menemui dua lelaki di KM14.706.
Katanya, seorang daripada lelaki terbabit berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati kabel telah dipotong dan dua kenderaan suspek (Perodua Myvi dan Proton Wira) berada di tempat kejadian.
“Pengesahan pasukan Semboyan Kuala Lumpur mendapati kabel yang dipotong melibatkan kabel 28 pasang, 14 pasang, 4 teras 16 mm² dan 4 teras 2.5 mm² yang masing-masing sepanjang kira-kira 50 meter,” menurut kenyataan itu lagi.
KTMB menegaskan perbuatan menceroboh dan merosakkan infrastruktur kereta api adalah kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
KTMB melalui Polis Bantuan dengan kerjasama PDRM akan terus mempergiat rondaan keselamatan bagi memastikan keselamatan landasan dan kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau terus kepada PDRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




