suliati@hmetro.com.my
Selepas seharian di pejabat sebagai pekerja, sebaik pulang ke rumah, peranan kembali menjadi ibu bapa.
Peralihan itu nampak mudah tetapi hakikatnya tidak. Mana tidaknya, ketika itu, fikiran masih sarat dengan urusan kerja yang belum selesai, badan pula sudah letih.
Apa yang sangat diperlukan saat itu adalah mandi, makan dan rehat.
Namun, bagi anak yang sudah seharian menanti di rumah, ketika ibu atau bapa pulang dari kerja, itulah saat yang paling mereka nantikan.
Bukan hadiah yang diinginkan tetapi hanyalah perhatian.
‘Reconnect’ dengan anak tidak memerlukan masa berjam-jam. Yang penting adalah kehadiran yang benar-benar ‘hadir’.
Berikut lima cara mudah yang boleh diamalkan:
1. Ambil masa ‘reset’ sebelum melangkah masuk ke rumah
Apabila sampai di rumah, jangan terus masuk dalam keadaan emosi masih bercampur-aduk.
Ambil masa lima hingga 10 minit di dalam kereta atau di luar rumah untuk tarik nafas panjang, lepaskan tekanan dan kosongkan fikiran seketika.
Peralihan kecil ini membantu kita menukar peranan daripada pekerja kepada ibu bapa.
Bila emosi lebih stabil, kita lebih mudah memberi respon dengan sabar dan tidak mudah melenting atas perkara remeh.
Anak tidak tahu apa yang kita lalui sebelum sebelum itu. Apa yang mereka tahu, ibu atau bapa sudah pulang.
2. Mulakan dengan sentuhan, bukan soalan
Sebaik melangkah masuk, cuba mulakan dengan pelukan dan senyuman.
Jangan terus bertanya kerja sekolah siap atau belum, kenapa ruang tamu bersepah atau kenapa adik menangis dan lain-lain.
Pelukan pertama itu memberi isyarat bahawa kehadiran mereka penting.
Bukan itu saja, sentuhan fizikal seperti memeluk, mengusap kepala atau mencium dahi memberi rasa selamat dan dihargai.
Ada kalanya, satu pelukan sudah cukup untuk mencairkan jarak yang terhasil sepanjang hari.
3. Luangkan masa 10 hingga 15 minit tanpa gangguan
Tak perlu lama, cukup 10 hingga 15 minit yang benar-benar eksklusif. Letakkan telefon jauh sedikit, tutup televisyen dan duduk berhadapan serta dengar cerita mereka.
Walaupun cerita si anak hanya mengenai pensil hilang, kawan tidak mahu kongsi makanan atau cikgu puji tulisan dengan dengan baik.
Ini kerana, bagi mereka perkara itu sesuatu yang cukup besar.
Apabila anak rasa didengari tanpa gangguan, mereka belajar dan merasa suara mereka bernilai.
Daripada situ, hubungan lebih terbina secara semula jadi.
4. Jadikan rutin harian sebagai ruang berbual
Tidak semua ibu bapa mempunyai masa untuk duduk berbual bersama anak.
Namun, tanpa sedar, rutin harian boleh dijadikan ruang untuk berinteraksi.
Sebagai contoh, masak bersama, mengemas meja makan, melipat kain atau menyiram pokok.
Ia sebenarnya boleh menjadi momen santai untuk berbual tanpa tekanan.
Dalam suasana yang tidak formal itu, anak biasanya lebih terbuka berkongsi perasaan mereka.
Bahkan, ada kalanya perbualan paling jujur berlaku ketika tangan sibuk bekerja dan hati terasa lebih ringan.
5. Lakukan rutin kecil sebelum tidur
Sebelum tidur, cipta satu rutin kecil yang konsisten seperti membaca doa bersama, membaca buku atau sekadar berbual santai di tepi katil.
Rutin yang diulang setiap hari ini secara tidak langsung dapat membina rasa kestabilan dan keakraban.
Anak mungkin tidak ingat setiap perbualan, tetapi mereka akan merasa disayangi sebelum melelapkan mata.
Itulah kenangan indah yang akan dikenang sehingga dewasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




