Daftar kad SIM prabayar guna MyDigital ID akhir tahun ini

Daftar kad SIM prabayar guna MyDigital ID akhir tahun ini

Putrajaya: Semua kad SIM prabayar bakal diwajibkan didaftar menggunakan MyDigital ID menjelang akhir tahun ini.

Langkah berkenaan yang bertujuan untuk memperketatkan proses pengesahan usia pengguna dalam menjamin aspek keselamatan, termasuk bagi pengguna media sosial.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendaftaran nombor telefon prabayar itu adalah antara cara untuk menutup sebarang lompang dari segi keselamatan.

Beliau berkata, pada mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) semalam, aspek pendaftaran kad SIM itu dibincangkan dan syarikat telekomunikasi akan diarah untuk memastikan proses pendaftaran kad prabayar berkenaan.

“Ini akan juga menggunapakai pendaftaran menggunakan My Digital ID.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan susuli dengan maklumat yang lebih terperinci.

“Ini hasil daripada keputusan mesyuarat MED4IR semalam… dijangkakan menjelang hujung tahun, mungkin dalam bulan November ataupun Disember.

“Jadi pendaftaran itu menggunakan My Digital ID, maka ada beberapa aspek keselamatan yang akan lebih baik,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Fahmi berkata, ketika ini, seseorang pengguna boleh mendaftarkan namanya untuk lima kad SIM bagi satu syarikat telekomunikasi pada satu-satu masa.

Justeru, katanya, ia menimbulkan kebimbangan membabitkan aspek keselamatan.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan pengendali sebuah laman web carian mengenai kebocoran data, Fahmi berkata, semakan dengan MCMC mendapati laman web berkenaan sudah disekat sejak 2022 lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak ada pengesahan mengenai status data yang dipegang oleh laman web berkenaan.

“Tapi pihak MCMC telah berhubung dengan penyedia perkhidmatan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai individu di sebalik laman web tersebut.

“Untuk maklumat yang lebih terperinci dan terkini boleh rujuk dengan pihak MCMC tapi memang saya sahkan, laman web tersebut telah disekat oleh MCMC sejak Jun 2022,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top