Gitaris utama kumpulan Samsons, Irfan Aulia Irsal berkongsi keadaan terkini bekas vokalis, Bams yang dikhabarkan baru sahaja selesai menjalani pembedahan kanser tulang lutut kanan.
Selepas lima tahun disahkan menghidap penyakit kanser, Irfan berkata Bams atau nama sebenarnya, Bambang Reguna Bukit mendapatkan rawatan di sebuah hospital, Pulau Pinang, Malaysia.
Meskipun diuji dengan penyakit tersebut, namun Bams difahamkan tetap aktif dalam pembabitan industri muzik, meskipun tidak bersama Samsons.
“Dia (Bams) baru habis operasi kanser lutut. Saya tidak pasti sudah peringkat berapa, tetapi yang jelas dia berubat di Malaysia. Keadannya juga sudah semakin membaik.
“Dia tidak merahsiakan keadaannya, Bams ada membuat pendedahan di podcast tentang penyakitnya itu.
“Sebagai rakan seperjuangan, sudah pasti kami sentiasa memberi sokongan kepadanya. Bams juga masih aktif menyanyi.
“Baru-baru ini dia ada membuat persembahan terbuka walaupun secara duduk saja di atas kerusi,” katanya yang turut memaklumkan Bams kini banyak meluangkan masa di gereja.
Imbas kembali, Bams pertama kali didiagnosis kanser otot dan kulit pada tahun 2020 dan kini telah sembuh
Difahamkan, Bams mengalami penyakit ini kerana terlalu kuat bersenam dengan aktiviti berat.
Mengulas mengenai hubungan Bams bersama ahli kumpulan Samsons, Irfan berkata mereka tidak mempunyai sebarang masalah, sebaliknya kini bekerjasama untuk sebuah projek bersama
“Kali terakhir kami berhubung mungkin beberapa tahun lalu. Tetapi, dia ada datang ke pejabat kami, berborak bersama Adrian (vokalis terkini), sejujurnya kami akan ada projek bersama.
“Hubungannya dengan mami masih sangat baik. Jalurnya dalam muzik berbeza tapi kami tiada masalah. Bams sekarang lebih selesa untuk menyanyikan muzik berkisar agama di gereja,” katanya.
Malah, Adrian juga mengakui dia dan Bams saling berkomunikasi melalui media sosial, Instagram.
Dalam masa sama, Samsons yang bakal menghiburkan peminat di konsert yang dijadualkan berlangsung pada 9 November 2025 menjanjikan pelbagai kejutan, namun tidak membawa Bams.
“Dia tidak akan mengikut serta dalam konsert ini. Kami mempunyai kejutan untuk peminat, tetapi bukan itu,” katanya.
Pada sidang media yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur petang tadi, konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah dijadualkan bakal berlangsung di IDEA Live Arena, Damansara 3, Petaling Jaya.
Samsons yang popular menerusi lagu-lagu hits mereka seperti Bukan Diriku, Naluri Lelaki, Akhir Rasa Ini akan menghiburkan peminat selama 2 jam.
Lebih istimewa, Samsons yang kini dianggotai Irfan, Adrian, Erik dan Aldri akan menyanyikan lagu baharu daripada album ke-6 mereka buat pertama kalinya di Malaysia.
Tiket konsert Samsons dengan harga serendah RM175 hingga RM196 sudah boleh dibeli menerusi laman web www.ticket2u.com.my




