nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Operasi pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini, selesai, malam ini.
Tinjauan Harian Metro di tapak operasi mendapati pihak polis sudah membuka halangan di kawasan berkenaan.
Keadaan di sekitar tapak operasi juga dilihat lenggang dengan tiada individu berkumpul.
Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi penguat kuasa menjalankan operasi bagi melaksanakan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas melalui beberapa proses perolehan yang ditetapkan dengan perintah pengosongan dikeluarkan oleh mahkamah.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




