Liverpool dijangka turunkan Isak kali pertama

Liverpool dijangka turunkan Isak kali pertama

London: Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali hujung minggu ini selepas rehat dua minggu dengan kelab-kelab teruja mahu mempamerkan pembelian baharu mereka terutamanya juara bertahan, Liverpool yang mungkin menurunkan Alexander Isak buat kali pertama menentang Burnley, Ahad ini.

Sebanyak £3 bilion (RM17.1 bilion) sudah dibelanjakan oleh 20 kelab dalam saingan elit England, sebahagian besarnya pada hari-hari terakhir perpindahan apabila kelab-kelab memperkukuh skuad untuk aksi mendatang.

Perpisahan penuh kontroversi Isak dengan Newcastle United akhirnya diselesaikan tepat pada masanya, dengan Liverpool membayar rekod British £125 juta (RM714.2 juta) untuk mendapatkan penyerang berbisa Sweden itu.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak bermain walau seminit pun untuk Newcastle musim ini kerana diketepikan, dan walaupun dia sempat diturunkan seketika bersama Sweden menentang Kosovo pada Isnin lalu, dia dijangka tidak akan berada dalam kesebelasan utama apabila bertemu Burnley.

Namun, pengurus, Arne Slot dijangka mahu memberinya sedikit minit permainan di Turf Moor, di mana Liverpool akan berusaha mengekalkan rekod 100 peratus dalam misi mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan keempat.

Isak mungkin menjadi pembelian paling sensasi musim panas ini, tetapi beberapa kelab lain juga kembali beraksi dengan deretan bintang baharu.

Arsenal dijangka memberi peluang pertama dalam kesebelasan utama kepada Eberechi Eze di gelanggang sendiri menentang Nottingham Forest, kelab yang bukan sahaja menyambar Oleksandr Zinchenko, Dilane Bakwa dan Cuiabano pada hari akhir perpindahan, malah menggantikan pengurus, Nuno Espirito Santo dengan Ange Postecoglou.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu dijangka berdepan ujian sengit dalam kepulangannya ke utara London, apatah lagi Arsenal masih terluka dengan kekalahan kepada Liverpool.

Selepas dua kekalahan berturut-turut, Manchester City akan melayan kunjungan Manchester United pada Ahad ini dalam perlawanan derby tumpuan hujung minggu, dengan skuad kendalian Pep Guardiola kini ketinggalan di belakang jiran mereka dalam carta liga.

Tumpuan pasti terarah kepada siapa pilihan Guardiola di gawang selepas kelab itu membeli Gianluigi Donnarumma di saat akhir.

United, yang mengutip empat mata hasil kemenangan dramatik ke atas Burnley, hampir pasti juga akan menurunkan penjaga gol baharu selepas ketibaan Senne Lammens pada hari akhir perpindahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top