Tak lama selepas anak keluar, polis sampai di rumah – Bapa mangsa bunuh

Tak lama selepas anak keluar, polis sampai di rumah – Bapa mangsa bunuh

am@hmetro.com.my

Guar Chempedak: “Dia bagitahu nak keluar sat (sekejap) saja, tak sangka sampai jadi macam ni.

“Allahuakbar, selama ni dok dengar cerita orang lain tapi tak sangka jadi kat anak kita pula,” kata bapa kepada lelaki yang maut selepas ditikam di hadapan sebuah rumah penduduk di Taman Nona, di sini, malam tadi.

Warga emas berusia lingkungan lewat 60-an itu turut ditenangkan ahli keluarga serta orang awam yang berada di lokasi kejadian sekitar jam 1.40 pagi tadi dan duduk di bahu jalan sambil melihat polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Warga emas itu turut meluahkan kekecewaannya apabila dimaklumkan jasad anaknya sudah diangkat ke dalam trak polis.

Malah dia turut menceritakan kepada penduduk di kawasan itu yang anak lelakinya yang berusia 30 tahun itu baru saja pulang ke rumah sebelum meminta izin untuk keluar semula.

Menurutnya, anaknya berkemungkinan hendak menghantar telefon bimbit dipesan pelanggannya.

“Anak saya balik sekejap dan ada tinggalkan telefon di rumah sebelum keluar. Tak lama lepas dia keluar, polis pula sampai di rumah dan bagitahu kejadian ini.

“Arwah anak yang baik, tak pernah sakitkan hati. Saya dok harap kat dia sahaja. Saya ingat saya yang pergi dulu, tengok dia pergi dulu,” katanya.

Menurut warga emas itu, anaknya itu membuka kedai membaiki dan menjual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dan wanita ditemukan meninggal dunia dengan kesan tikaman di bahagian badan dipercayai dibunuh di Taman Nona, di sini malam tadi.

Berita berkaitan

Jiran dengar jeritan ‘tolong, ada orang kena tikam’

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top