am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Kenapa status penjejak lokasi langsung (live location) anak terhenti secara tiba-tiba selain mesej dihantar tidak dibalas?
Itulah persoalan awal yang bermain di fikiran Norashikin Mohamad, 57, sebelum mendapat khabar duka apabila dua daripada empat anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Kluang, Ayer Hitam, petang semalam.
Nahas berlaku pada jam 4.30 petang itu menyebabkan dua anak Norashikin, Fazli Yuzaini Zainal Abidin, 30, dan Irfan Helmi, 20, maut, manakala Azrul Nizam, 29, dan Zul Fahmi, 26, cedera dan kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang
Sebelum kejadian, keluarga terbabit dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Mengkibol, Kluang untuk menghantar Irfan Helmi ke Politeknik Sultan Ibrahim di Pasir Gudang.
Irfan Helmi adalah penuntut semester keempat diploma kejuruteraan mekanikal.
Menurut Norashikin, sebelum kejadian, dia menaiki kereta berlainan yang dipandu sepupunya, manakala Fazli Yuzaini dan Irfan Helmi menaiki kereta dipandu Azrul Nizam.
“Kami bertolak terlebih dulu kerana mereka (anak) mahu mengisi petrol. Ketika baru hendak sampai Skudai, kawan Azrul hubungi saya supaya melihat video yang diberikan.
“Saya tanya kenapa, kawannya cakap kereta Azrul kemalangan. Saya terus membuka Facebook tapi tidak dapat melihat dengan jelas kerana gambar dipaparkan hanya kenderaan dalam kesesakan.
“Tanpa membuang masa, kami terus berpatah balik dengan keadaan jalan penuh sesak. Ketika dalam perjalanan itu jugalah saya diberitahu Fazli Yuzaini dan Irfan Helmi sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), hari ini.
Sebelum itu, Norashikin memberitahu dia turut cuba menghubungi telefon salah seorang anaknya bagi mendapat kepastian, namun panggilan dijawab oleh pasukan perubatan.
“Mereka hanya memberitahu dua anak saya, Azrul Nizam dan Zul Fahmi sedang dirawat di zon kuning. Dua anak saya ini cedera di belakang dan tengkuk akibat hentakan dalam nahas terbabit,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara arwah, Zulkifli Mohamad, 55, memberitahu dia bergegas pulang dari Pulau Pinang ke Johor sebaik dimaklumkan berita sedih itu.
“Waktu itu kami tak tahu dia meninggal dunia, kira-kira jam 6 petang barulah saya diberitahu keadaan sebenar.
“Kami masih terkejut tapi kena reda walaupun kehilangan itu masih terasa,” katanya.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Padang Tembak, Kluang, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, nahas berlaku ketika hujan lebat yang mengakibatkan kereta dari arah Kluang itu dipercayai hilang kawalan.
“Kereta terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh kenderaan ulititi sukan (SUV) serta sebuah lagi kereta.
“Dua beradik itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu SUV dan kereta masing-masing berusia 42 dan 35 tahun cedera ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




