Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mahu menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bagi mengelak kekalahan.
Dakwaan tak berasas
Memetik laporan daripada Kosmo! beliau menyatakan dakwaan itu tidak berasas memandangkan tempoh pembubaran masih panjang selain menegaskan kerajaan tidak akan mengikut langkah seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Dia (Muhyiddin) takut dengan keadaan tertentu pada masa itu tetapi kerajaan (Perpaduan) sekarang tidak pun timbul untuk tangguh PRN. Janganlah fikir apa dia buat, orang lain akan buat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan MRSM Dungun.

Hanya spekulasi semata-mata
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan, kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan PRN hanyalah spekulasi semata-mata.
Malah, beliau menegaskan cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong itu hanyalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi kerajaan.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa cadangan penangguhan PRN itu menunjukkan kerajaan bimbang berdepan kekalahan sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun, Zahid menegaskan keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Johor tetap tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa negeri serta Yang di-Pertuan Agong.
Tambahnya, walaupun faktor geopolitik termasuk krisis di Asia Barat diambil kira, ia tidak menjadi alasan untuk menangguhkan proses demokrasi di negara ini.




