mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang berada di Tunisia, diletakkan dalam mod siap sedia dan masih menunggu arahan selanjutnya bagi memulakan pelayaran ke Gaza, Palestin pada bila-bila masa.
Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman berkata, ancaman serangan dron ke atas dua kapal GSF beberapa hari lalu tidak mematahkan semangat peserta misi kemanusiaan itu yang bertekad meneruskan pelayaran ke Gaza, tanpa gentar.
Katanya, kapal itu kembali berada di laut selepas diselenggara dan dibersihkan daripada kesan kebakaran.
“Kurang 48 jam selepas serangan dron ke atas kapal kami, kita sudah pun berada di atas kapal dan insya-Allah kita akan bergerak pada bila-bila masa saja daripada sekarang.
“Apa yang dilalui saudara kita di sana jauh lagi teruk, mereka berdepan dron yang sangat banyak hampir 24 jam jadi ini adalah solidariti untuk mereka. Kita tidak akan berpatah balik dan akan teruskan perjalanan ke bumi G (Gaza).
“Saya akan bawa bendera Malaysia dan akan pasang di atas kapal Alma sebagai bukti kami adalah wakil Malaysia,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Selasa lalu, kapal Alma yang berlabuh di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunis menjadi sasaran dron kira-kira 11.20 malam (waktu Tunisia) selepas tiba dari Barcelona, Sepanyol, awal pagi Isnin lalu.
Insiden kedua ke atas kapal dinaiki Ahmad Musa, Sul Aidil dan Ilya Balqis bersama peserta dari negara lain itu berlaku sehari selepas kapal utama misi itu, Familia Madeira diserang di lokasi berhampiran.
Kumpulan itu berlabuh seketika di pelabuhan terbabit selepas lapan hari belayar dari Barcelona sejak 31 Ogos lalu.
Sementara itu, pendakwah terkenal, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan memaklumkan, semua kapal Kumpulan A GSF yang memulakan pelayaran dari Sepanyol sudah dipindahkan ke lokasi rahsia bagi mengelak serangan dron atau ancaman sabotaj.
“Sudah dua malam kita tidak mendapat apa-apa serangan. Ini bererti keselamatan sudah semakin baik dan lebih terjamin,” katanya dalam kemas kini perkembangan terbaharu di Telegram, 4 pagi hari ini.
Dalam pada itu, alunan merdu berkumandang di pelabuhan Sidi Bou Said apabila peserta Sumud Nusantara dari Malaysia berselawat pada satu majlis pelancaran sebelum mereka menaiki kapal masing-masing.
Pelajar Malaysia yang berada di negara itu turut hadir meluangkan masa memberikan sokongan kepada delegasi negara.
Kumpulan A akan bergabung dengan Kumpulan B dan C yang berada di Catania, Itali dan Tunisia sendiri terus menuju ke Gaza dan dijangka tiada lagi tempat persinggahan sementara selepas pelayaran dari Tunis.
GSF adalah misi kemanusiaan terbesar dalam sejarah dunia apabila disertai lebih 1,000 aktivis dari 44 negara yang mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Mediterranean untuk memecah sekatan dikenakan Israel terhadap Gaza.
Kumpulan itu bergerak dengan lebih 50 kapal flotila membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak perang 7 Oktober 2023 meletus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




