am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik di sini, hari ini atas tuduhan memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama di sini, seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki itu dikenakan hukuman penjara tiga hari daripada tarikh sabitan dan denda RM6,000 dan jika gagal membayar denda dihukum penjara enam bulan serta hilang kelayakan lesen selama lima tahun.
“Individu itu mengaku bersalah dan membayar denda,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.
Hari ini media melaporkan, pemandu yang dikesan memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama, di sini, seperti tular di media sosial sudah ditahan polis, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dipetik berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 32 tahun itu selepas individu itu datang ke pejabat JSPT Kuala Lumpur pada 8.35 malam.
Beliau dilaporkan berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta di sini, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 9 pagi ini.
Terdahulu, video berdurasi 40 saat memaparkan sebuah kereta dikesan memandu secara melawan arus. Kejadian dirakam seorang pengguna sebelum tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




