'Saya tidak mahu keluarga lain kehilangan anak dengan cara memilukan seperti itu lagi' – Bapa saudara Allahyarham Idlan

'Saya tidak mahu keluarga lain kehilangan anak dengan cara memilukan seperti itu lagi' – Bapa saudara Allahyarham Idlan

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tidak mahu ada keluarga lain lagi yang kehilangan anak dengan cara memilukan seperti itu,” kata Kamaruddin Ngatimon, bapa saudara kepada Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, pelajar Tingkatan Dua yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bulan lalu.

Mengakui sehingga hari ini keluarganya masih terkesan dengan kehilangan itu, Kamaruddin berkata kerajaan dan pihak sekolah perlu mengambil langkah lebih tegas bagi mengelakkan tragedi berulang.

Katanya, dia terkejut kerana ketika kes anak saudaranya masih lagi ‘panas’, ada kes lain yang berlaku di Yong Peng, Johor dan turut membabitkan kematian pelajar sekolah.

Katanya, kes kematian pelajar di sekolah yang membabitkan buli dan bunuh kemungkinan disebabkan oleh kelonggaran aspek pelaksanaan hukuman di sekolah dan ibu bapa pelaku itu sendiri.

“Remaja memang penuh emosi namun mereka perlu dididik dengan tegas untuk bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang dilakukan.

“Jika mereka melakukan kesalahan, berikan hukuman setimpal termasuk rotan untuk tujuan mendidik dan ibu bapa jangan sesekali masuk campur.

“Bagi pihak sekolah pula, jangan sembunyikan kes-kes disiplin seperti ini kerana jika dibiarkan lama kelamaan boleh menjadi jenayah yang lebih buruk,” katanya.

Kamaruddin berkata, dia berharap supaya hukuman lebih tegas seperti rotan dapat dikembalikan semula kepada pihak sekolah.

Ini kerana katanya, kawasan sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar dan sebarang perlakuan yang membawa kepada risiko keselamatan perlu ditolak sekeras-kerasnya.

“Banyak yang mempengaruhi remaja hari ini. Mereka bukan seperti remaja dahulu, mereka lebih berani.

“Jadi, kita sebagai orang dewasa juga perlu lebih berani untuk mendidik mereka dan jangan biarkan anak kita ‘naik lemak’.

“Biar kita menangis dahulu daripada menyesal di kemudian hari,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, ibu Muhammad Idlan masih berduka namun sudah menerima khidmat kaunseling daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Muhammad Idlan, 14, dilaporkan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Susulan daripada insiden tersebut, pihak polis telah mengambil tindakan segera dengan menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan lanjut .

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top