ISTANBUL: Beberapa pemain bola sepak menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin susulan serangan tentera Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.
Bintang tengah Perancis yang beraksi bersama Manchester United, Paul Pogba memberikan sokongan kepada mereka menerusi hantaran di media sosial.
“Dunia ini memerlukan keamanan dan kasih sayang. Ia akan pulih nanti. Kita perlu menyayangi antara satu sama lain. #PRAYFORPALESTINE,” kata Pogba menerusi laman Instagramnya.
Menerusi Twitter, pemain Fenerbahce, Mame Thiam mengambil sepotong ayat dari Al-Quran.
“Wahai manusia! Sungguh, janji Allah itu benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah (syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.”
Dengan sekeping foto, Thiam turut menulis ‘hati saya untuk kamu, Masjid Al-Aqsa.’
Beberapa pemain lain seperti Achraf Hakimi, Riyad Mahrez, Shkodran Mustafi, Franck Ribery dan Moussa Marega turut mengambil pendekatan sama.
Hakimi menulis ‘#FreePalestine’ menerusi Twitternya sementara Riyad pula menulis ‘#Palestine #SaveSheikhJarrah’.
Menurut Persatuan Sabit Merah Palestin, sekurang-kurangnya 305 tercedera selepas tentera Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Timur Jerusalem dan menyerang rakyat Palestin yang cuba melindungi kawasan itu daripada serangan ekstremis Yahudi.
Tekanan terus memuncak di kejiranan Sheikh Jarrah sejak minggu lalu apabila penduduk Israel menyerbu kawasan itu selepas mahkamah Israel mengusir keluarga Palestin yang mendiami kawasan terbabit.
Penduduk Palestin yang melakukan protes sebagai solidariti dengan penduduk Sheikh Jarrah menjadi sasaran tentera Israel.
-Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd




