Cabaran Jun Hao lebur dalam masa 78 minit

Cabaran Jun Hao lebur dalam masa 78 minit

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao hanya dipisahkan satu mata untuk melangkah ke separuh akhir namun terpaksa akur tunduk di tangan pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng dalam aksi penuh dramatik di suku akhir Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.

Berlangsung di Hong Kong Coliseum, Jun Hao yang menghuni ranking ke-23 dunia memberikan tentangan sengit sebelum tewas 20-22, 21-14, 20-22 dalam pertarungan selama 78 minit sekali gus meleburkan impiannya untuk melangkah ke separuh akhir pertama musim ini.

Selepas kehilangan set pertama, Jun Hao bangkit garang pada set kedua dengan corak permainan lebih kemas untuk mencatat kemenangan 21-14 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga berlangsung mendebarkan apabila kedua-dua pemain saling mengejar mata.Jun Hao yang ketinggalan 11-14 berjaya bangkit hingga menyamakan kedudukan 15-15, sebelum terus mengikat Shi Feng pada 17-17 dan 19-19.

Detik paling mencemaskan hadir apabila Jun Hao berjaya meraih mata akhir pada kedudukan 20-19, namun gagal memanfaatkannya apabila Shi Feng bangkit menyamakan kedudukan sebelum menamatkan pertarungan 22-20.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan terus memihak kepada Shi Feng yang kini menang enam daripada tujuh pertemuan menentang Jun Hao.

Shi Feng akan membuat perhitungan dengan pemain Perancis, Christo Popov bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top