Adira berharap kes pengesahan rujuk selesai tanpa drama

Adira berharap kes pengesahan rujuk selesai tanpa drama

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Shah Alam: Penyanyi Adira Suhaimi, 35, memaklumkan kes perbicaraan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan oleh bekas suaminya, Datuk Red, 48, akan berlangsung pada 23 April ini.

Terdahulu, Red atau Datuk Seri Adnan Abu memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap Adira pada Disember tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Kuang, Rawang, Selangor.

Adira berkata, dia berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik dan tiada pergaduhan di antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga percaya bekas suaminya mengharapkan perkara sedemikian.

“Sebenarnya kes itu (pengesahan lafaz rujuk) belum selesai. Tetapi, macam mana pun saya nak kena menghadap juga dan ia harus diselesaikan dengan segera sebab saya pun nak ada kehidupan saya sendiri.

“Sebab, dah ada kehidupan baharu. Jadi, saya harap benda ini akan selesai dengan tenang, tiada pergaduhan dan saya percaya Datuk Red pun akan nak selesaikan benda ini dengan tenang.

“Jadi, ‘next court’ (perbicaraan) adalah pada 23 April ini (Khamis). Tolong doakan saya, macam mana pun saya selesa dalam keadaan saya sekarang ini dan saya harap ia akan dapat selesai tanpa ada drama,” katanya kepada Harian Metro.

Adira ditemui media di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, selepas konsert minggu pertama program Talk To My Manager 2 (TTMM 2) yang menampilkan gandingannya bersama anak sulung, Anggrek, 9.

Ditanya juga kehadirannya ke mahkamah untuk perbicaraan berkenaan, Adira yang juga ibu kepada empat cahaya mata ini memberitahu dia akan hadir.

“Betul, insya-Allah saya datang (ke mahkamah). Selama berhadapan kes itu, Alhamdulillah saya ada ‘circle’ yang betul-betul ‘supportive’ (beri sokongan). Saya ada keluarga dan kawan-kawan saya.

“Malah, saya rasa tidak terganggu pun sebenarnya sebab saya dah pernah hadap benda yang lebih berat sebelum ini. Alhamdulillah, benda ini (kes pengesahan lafaz rujuk) kecil sahaja dan kita kena selesaikan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan perbicaraan pengesahan lafaz rujuk Red dan Adira dibuat secara tertutup itu berlangsung pada 16 Februari lalu, namun ditangguhkan.

Red dan Adira berkahwin pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand, namun mereka sah bercerai talak satu pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 5, yang kini dalam penjagaan penuh Adira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top