London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui pencabar kejuaraan mereka, Liverpool, kini memiliki skuad terkuat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas juara bertahan itu menandatangani Alexander Isak dengan yuran rekod British.
Liverpool membelanjakan £125 juta (RM712 juta) kepada Newcastle bagi mendapatkan penyerang Sweden itu sekali gus menambah satu lagi pilihan serangan kepada skuad Arne Slot.
Selepas memenangi kejuaraan liga ke-20 mereka musim lalu yang menyamai rekod Manchester United, The Reds membelanjakan lebih £400 juta (RM2.28 bilion) untuk pemain baharu, termasuk Florian Wirtz yang dibeli dari Bayer Leverkusen dengan harga £100 juta (RM570 juta).
Perbelanjaan besar Liverpool itu melebihi kira-kira £200 juta (RM1.14 bilion) berbanding apa yang Arsenal belanjakan untuk lapan pemain baharu. Namun, perbelanjaan bersih Liverpool sebenarnya lebih rendah kerana mereka berjaya menjual pemain dengan jumlah
melebihi £200 juta (RM1.14 bilion).
Skuad kendalian Slot berjaya menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield sebelum rehat antarabangsa dalam pertembungan awal antara dua pencabar kejuaraan utama.
Liverpool kini mendahului carta liga dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas tiga perlawanan, manakala Arsenal berada di belakang dengan enam mata.
Apabila ditanya tentang bagaimana kehadiran Isak di Anfield boleh mempengaruhi perebutan kejuaraan, Arteta, yang pasukannya ketinggalan 10 mata di belakang Liverpool musim lalu, berkata:
“Mereka yang terkuat, itu sudah pasti.
“Mereka mendapatkan dua pemain paling berpengaruh di Eropah dalam pasaran (Isak dan Wirtz), dan mereka melakukannya dengan sangat baik.
“Mereka memang sangat, sangat kuat, dan kami perlu lihat diri sendiri dan apa yang perlu kami lakukan untuk menjadi lebih baik daripada mereka.”
Arsenal belum memenangi kejuaraan EPL sejak 2004, dan satu-satunya trofi yang dimenangi Arteta sepanjang lima tahun pemerintahannya adalah Piala FA 2020.
Selepas menamatkan musim sebagai naib juara dalam tiga musim terakhir, Arteta sedar tugas untuk memintas Liverpool sangat mencabar.
“Ia bukan hanya tentang Liverpool, tetapi liga secara keseluruhan dan betapa sukarnya untuk konsisten dan menang sebanyak mungkin perlawanan diperlukan untuk layak bergelar juara,” katanya. “Ia akan menjadi satu perjalanan yang sangat panjang untuk semua pasukan.”
Arsenal akan menentang Nottingham Forest di Stadium Emirates malam esok tanpa kelibat pemain sayap England, Bukayo Saka, yang mengalami kecederaan hamstring dalam kemenangan 5-0 ke atas Leeds bulan lalu.
Namun, pertahanan Perancis William Saliba menjalani latihan hari ini dan berkemungkinan diturunkan selepas terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan menentang Liverpool.
Arteta bakal berdepan bekas pengurus Tottenham, Ange Postecoglou, yang kini bersedia mengemudi Forest dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus kelab itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




