Racun disangka air minuman, lelaki maut

Racun disangka air minuman, lelaki maut

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki meninggal dunia selepas terminum racun yang disangka air minuman di sebuah kebun di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.47 petang.

“Siasatan mendapati mangsa berusia 42 tahun terminum racun yang disangkakan minuman dalam botol air mineral.

“Semasa kejadian, lelaki terbabit sedang menjalankan kerja kerja meracun sawit di sekitar kebun jagaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Yusof berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa sudah dijalankan Pegawai Perubatan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga kini punca kematian tidak dapat disahkan kerana perlu menunggu keputusan laporan makmal.

“Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Md Yusof berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top