Sabri Yunus sokong penuh Angeline Tan dalam kegiatan dakwah

Sabri Yunus sokong penuh Angeline Tan dalam kegiatan dakwah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus, 63, akan terus menyokong pembabitan isterinya, Angeline Tan, 57, dalam kegiatan dakwah terutama program berkaitan membantu saudara baru.

Sabri berkata, memang banyak pihak yang mengundang Angeline atau nama Islamnya, Ardini Angeline Tan berkongsi mengenai penghijrahannya sejak memeluk agama Islam hampir dua tahun lalu.

“Selain di masjid, Angeline juga selalu buat perkongsian mengenai agama Islam melalui video yang dibuat.

“Sebenarnya, dia banyak berkongsi dengan ramai kawan-kawannya yang bukan Islam untuk lebih memahami Islam kerana ramai yang keliru dan tidak faham mengenainya.

“Sebagai kawan, mestilah mereka bertanya sendiri padanya kenapa dia memeluk Islam?,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kelate Charity Festival 2025 yang berlangsung di sebuah restoran di sini.

Mengenai Anugerah Maulidur Rasul yang diterima Angeline pula, Sabri berkata, dia pastinya bangga dengan pencapaian isterinya itu.

Terdahulu, Angeline dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori Saudara Baharu Cemerlang (Mualaf) pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H 2025M baru-baru ini.

“Alhamdulillah, pastinya sebagai suami, sayalah yang lebih bangga dengan penganugerahan yang diterimanya itu berbanding orang lain.

“Tapi bukan itu yang kami cari kerana saya mahu dia buat untuk dirinya sendiri. Anugerah itu adalah amanah baru buatnya tapi secara tidak langsung dapat bantu tingkatkan lagi kepercayaan dan keimanannya pada agama Islam,” katanya.

Sementara itu, Sabri dan Angeline juga terbabit dalam festival yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 17 hingga 20 September ini.

“Saya berganding dengan pelawak dan serta penyampai radio, Issey Fazlisham selaku pengacara festival terbabit.

“Selain itu, saya juga terbabit dengan malam kebudayaan Dikir Barat, manakala Angeline pula terbabit dengan program yang khusus untuk wanita termasuk sesi borak santai dan perkongsian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top