Prospek TMM 2026 cerah, industri pelancongan berkembang positif

Prospek TMM 2026 cerah, industri pelancongan berkembang positif

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) menyifatkan prospek Tahun Melawat Malaysia 2026 semakin cerah apabila industri pelancongan terus menunjukkan perkembangan positif.

Presiden SAFTTA, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pelancongan kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan pendapatan sebanyak RM291.9 bilion pada 2024, menyumbang 15.1 peratus kepada ekonomi negara.

Malah, katanya, perbelanjaan pelancongan inbound mencatatkan RM107 bilion atau 52.1 peratus, berbanding RM98.4 bilion (47.9 peratus) daripada pelancongan domestik.

“Tourism Malaysia turut melaporkan peningkatan 21 peratus ketibaan pelawat asing pada Januari hingga April 2025 iaitu 13.38 juta orang berbanding 11.06 juta pada tempoh sama 2024.

“Jumlah itu juga lebih tinggi 12.4 peratus berbanding 2019 sebelum pandemik Covid-19.

“Angka-angka ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif yang dicatatkan oleh industri pelancongan hasil daripada keberkesanan usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui MOTAC dan Tourism Malaysia terutamanya kempen di luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, katanya, untuk memastikan sasaran ketibaan pelawat asing terus meningkat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berbaki empat bulan sahaja lagi, usaha promosi bersepadu perlu terus dipergiatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top