syafil.syazwan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: “Bukan tak laku, tapi saya sudah ‘shift’ (tukar) fokus,” tegas pelakon, Puteri Sarah Liyana, 39, menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa dirinya tiada tawaran lakonan gara-gara kerap membuat siaran langsung di media sosial.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, kekerapannya muncul di platform digital kerana komitmennya terhadap dunia perniagaan yang kini menjadi fokus utama sebagai jaminan masa depan.
“Ada yang komen tanya kenapa saya setiap hari buat ‘live’? Tak ada penggambaran? Dah tak laku?
“Sebenarnya saya nak fokus perniagaan sebab tak tahu sampai bila akan berada dalam industri. Jadi, janganlah beranggapan kalau lama tak masuk set, maknanya tak laku,” katanya.
Sarah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir dua cahaya matanya, Syaikhul Islam dan Sumayyah, di sini, semalam.
Pelakon drama Melastik Ke Bintang itu berkata, dia kini lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan bagi memastikan urusan perniagaannya tidak terabai.
Sarah menganggap perniagaan sebagai pelaburan jangka panjang untuk anak-anaknya.
“Kalau saya terus berlakon sampai usia tua, rasanya saya pun tak larat. Apabila ada perniagaan sendiri, saya ada lebih masa bersama anak-anak. Saya juga fikir mengenai legasi yang ingin ditinggalkan kepada mereka,” katanya.
Puteri Sarah yang kini aktif mengusahakan perniagaan tudung, pakaian dan produk penjagaan kulit turut memohon agar netizen berhenti melemparkan komen negatif terhadap fasa baharu kehidupannya.
“Fokus saya sekarang, Alhamdulillah, lebih kepada perniagaan kerana ia semakin berkembang. Saya harap orang ramai doakan yang baik-baik, bukan sekadar tinggalkan komen negatif atau nakal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




