LHDN berjaya pungut RM16.95 bilion cukai tambahan

LHDN berjaya pungut RM16.95 bilion cukai tambahan

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berjaya membangkitkan cukai tambahan termasuk penalti sebanyak RM16.95 bilion, membuktikan keberkesanan strategi dalam menangani ketidakpatuhan cukai tanpa mengira saiz perniagaan atau status individu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, naratif LHDN ini menggambarkan perubahan signifikan ke arah penguatkuasaan yang lebih terancang, adil dan strategik.

“Kejayaan ini adalah hasil gabungan pendekatan berasaskan data, penggunaan teknologi terkini serta kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan yang telah memperkukuh keupayaan LHDN dalam melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Ogos 2025, LHDN telah melaksanakan analisis risiko percukaian secara komprehensif yang membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dalam pelbagai sektor, diikuti pelaksanaan audit dan siasatan berdasarkan sumber maklumat dan teknologi analitik.

Sebagai rekod, LHDN berjaya mengesan ketidakpatuhan cukai dalam kalangan

pembayar cukai meliputi 1,033 syarikat dengan jumlah cukai tambahan sebanyak RM15.2 bilion dan 321 individu (RM1.75 bilion).

Menurutnya, pihaknya menyeru pembayar cukai agar tidak menunggu sehingga ketidakpatuhan mereka dikesan melalui audit atau siasatan yang akan menyebabkan penalti yang lebih tinggi dikenakan.

Katanya, LHDN sentiasa memastikan cukai dipungut dengan adil dan saksama kepada golongan yang layak dikenakan cukai.

“Sebagai agensi pentadbir cukai langsung di Malaysia, LHDN akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan membayar cukai dan tidak culas.

“Sehubungan dengan itu, kami ingin menasihatkan semua pembayar cukai agar sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap, dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967,” katanya.

Menurutnya, LHDN percaya melalui penguatkuasaan yang konsisten serta penggunaan teknologi terkini dan progresif, rangka kerja fiskal yang lebih adil dan berdaya tahan dapat dibina untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, menurutnya pihaknya menyeru semua pembayar cukai agar tampil membuat pengakuan sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian.

Katanya, langkah ini membolehkan pembayar cukai menikmati kadar penalti lebih rendah berbanding penalti yang dikenakan melalui proses audit atau siasatan.

Berdasarkan Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan, kadar penalti yang dikenakan bagi kes pengakuan sukarela sebelum tindakan audit bermula di bawah subseksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, hanya 15 peratus

kadar penalti dikenakan.

Manakala, bagi pembayar cukai yang telah mengemukakan pengakuan sukarela pertama melalui Borang Nyata Terpinda (BNT) dan seterusnya membuat pengakuan sukarela tambahan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan, hanya 10 peratus penalti dikenakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top