georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tuah menyebelahi perunding pengurusan Chloe Lim, 27, apabila dinobatkan Miss Universe Malaysia 2025 menewaskan 15 peserta lain pada pertandingan akhir ratu cantik berprestij itu, semalam.
Chloe berkata selain rezeki, dia menyifatkan kemenangan itu sebuah impian besar jadi kenyataan.
Baginya, kesemua peserta lain memang hebat belaka dan dia cuma menjadi diri sendiri sepanjang pertandingan.
“Saya hanya tampil sebagai Chloe. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Peserta lain juga tampil sebagai diri mereka sendiri dan saya rasa itu sesuatu yang sangat hebat. Saya tidak boleh katakan siapa yang lebih baik.
“Tetapi mungkin malam ini rezeki berpihak kepada saya. Ini satu penghormatan dan saya sedang merealisasikan impian saya sekarang. Saya tidak pernah menjangkakannya, tetapi saya sentiasa berdoa untuknya.
“Saya hanya tahu bahawa saya akan memberikan yang terbaik walau apa pun yang terjadi. Saya teruja untuk melihat apa yang menanti dalam perjalanan akan datang,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.
Memegang dua ijazah sarjana, Chloe berazam memberikan sepenuh kudrat untuk mewakili Malaysia ke Miss Universe 2025 yang berlangsung di Thailand pada November nanti.
Mana tidak, tanggungjawabnya terlalu berat selepas wakil Malaysia tahun lalu iaitu Sandra Lim mencipta sejarah menempatkan diri dalam Top 30 di Miss Universe 2024.
“Dalam tempoh dua bulan ini, saya harap dapat mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin untuk benar-benar mewakili Malaysia di pentas dunia di Thailand.
“Sudah tentu untuk pertandingan ini, terdapat aspek-aspek yang perlu diperhalusi dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk menang.
“Oleh itu, saya pasti akan memberikan komitmen 100 peratus dari segi fizikal, mental, dan emosi untuk bersedia bagi semua aspek,” katanya.
Tempat kedua menjadi milik penasihat perniagaan Priyaa Simmi, 30, manakala model dan pempengaruh, Jen Li, 28, ketiga.
Peserta lain bertanding adalah Bhadrani Nagendran, Chloe Chin, Elaine Cheah, Elina Cheah, Joey Leng, Kavita Sanglish, Keerthanaah Parthipan, Malveen Kaur, Priscilla Yap, Priyanka Sockanathan, Dr Ranmeet Jassal, Tan Su Jie, and Valenice Tiong.
Pada tahun lalu, wakil Malaysia, Sandra berjaya menamatkan kemarau penantian selepas 54 tahun nama Malaysia tidak dipanggil dan lolos ke Top 30 daripada 125 peserta Miss Universe 2024 di Mexico.
© New Straits Times Press (M) Bhd




